CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, June 14, 2009

fanatik kamera dan dakwah..

StudioMuslim | Mencari Peribadi Muslim
Fanatik Kamera dan Dakwah
Mar 12th, 2009
by Azree Hanifiah.


post ini sipetik dari blog: http://www.studiomuslim.com/

“Jangan beli DSLR jenis Sony. Membazir. Lebih baik beli Canon, lagi elok. Atau pun beli sahaja Nikon.”

“Apa kurangnya Sony berbanding Canon dan Nikon? Gambar boleh jadi lebih cantikkah kalau pakai Canon?”

Ini fanatik brand namanya. Apa yang penting, kita tahu guna setiap fungsi yang ada pada kamera tersebut. Beli kamera mahal-mahal pun tapi tidak explore, rugilah. Ada kawan pakai kamera DSLR brand mahal, tapi gambar macam itu juga – tidaklah cantik sangat. Ada seorang jurufoto sebuah badan kerajaan yang saya kenal, pakai Nikon D3, gambar yang diambil lebih kurang juga.

Skil atau teknik kita mengambil gambar perlu diambil berat. Kamera mahal atau brand terkenal sekali pun tidak akan menjadikan gambar saudara itu cantik atau kelihatan profesional. Jurufoto professional bukanlah terletak pada brand kamera yang dia miliki tetapi terletak pada kemahiran yang dia punyai.

Apabila saudara ingin digelar sebagai jurufoto bertaraf profesional, kualiti yang ada pada saudara bukan terletak pada brand kamera tetapi terletak kepada cantik atau tidak hasil gambar yang ditangkap.

Sebelum saudara beli kamera DSLR, tanya diri sendiri dahulu berapa banyak duit yang saudara boleh laburkan dan juga leburkan. Kalau bajet bawah RM 3000, lebih baik beli kamera DSLR berharga RM 2000 ke bawah. Lagi RM 1000, gunakan buat beli lens dan juga untuk pergi kelas fotografi.

Lain orang lainlah kesesuaiannya. Sebelum beli, cuba dahulu semua kamera DSLR yang ada di kedai tersebut. Kalau rasa sesuai dengan diri, ambil. Dan kalau rasa ada guru yang guna kamera yang sama dan boleh ajar, lagi bagus.

(Saya merupakan seorang pengguna Olympus E520)

Fanatik dan ghuluw

Fanatik mengikut George Santayana, seorang ahli falsafah berbangsa Sepanyol, mengatakan maksud fanatic sebagai “melipatgandakan usaha walaupun lari daripada matlamat sebenar”. Winston Churchill pula menjelaskan orang yang fanatik adalah “orang yang tidak mahu berubah apabila menerima nasihat daripada orang luar”.

Ghuluw merupakan istilah daripada bahasa Arab yang bermaksud melampaui batas. Boleh juga kita panggil sebagai taksub dan fanatik. Situasi ghuluw wujud salah satu sebabnya kerana kurangnya ilmu dan kurangnya maklumat sehingga kita berasa kagum terhadap seorang personaliti atau pun kumpulan.

Ini yang masih berlaku dalam situasi gerakan-gerakan dakwah. Taksub kepada satu gerakan menyebabkan kita mengatakan cara dakwah gerakan yang lain tidak berkesan atau jalan yang dilalui oleh gerakan lain tidak betul.

Lain orang lainlah kehendak. Ada orang lebih suka cara dakwah yang digunakan oleh gerakan tabligh, maka masuklah dia ke dalam gerakan tabligh. Ada orang lebih sukakan aktiviti, maka masuklah dia ke dalam gerakan yang menyediakan aktiviti-aktiviti menarik.

“Ah! Gerakan itu tak buat kerja dakwah pun.”

Ini pun satu hal. Sudahkah yang mengatakan itu duduk sama dalam program-program gerakan tersebut?

Tiru cara doktor

“Tengoklah budak itu macam mana sekarang. Dulu masa berubah siap berserban. Tak lama, sekarang sudah merokok. Cara orang itu dakwah budak itu tak betul.”

Apabila melihat hasil yang tidak menjadi, kita menyalahkan orang yang menguruskannya.

Kita lihat satu situasi:

Seorang pesakit pergi berjumpa dengan seorang doktor.

“Tuan doktor, minggu lepas saya berjumpa doktor klinik A. Tapi sampai sekarang sakit gatal-gatal pada kulit saya masih lagi tidak sembuh-sembuh.”

“Boleh saya tahu jenis ubat yang diberi?”

Selepas doktor tersebut selesai memeriksa pesakit tersebut dan jenis ubat yang telah diberi doktor sebelumnya, dia memberi ubat dan penyelesaian yang lain tanpa menyalahkan ubat yang diberi oleh doktor sebelum itu pun.

Tidak pula doktor itu berkata, “Ubat yang doktor sebelum ini bagi salah atau doktor sebelum ini sudah silap diagnose.”

Berdakwah itu bukan buat sekali terus jadi. Ia merupakan satu proses panjang. Sama juga kalau kita hendak promosi barang atau produk. Kalau cara pertama tidak berkesan, kita guna cara kedua. Kalau cara kedua pun tidak berkesan, kita guna cara ketiga.

Jangan berhenti berusaha. Pelbagaikan teknik dan kuatkan azam. Lama-kelamaan kita akan dapat rentak dan teknik sendiri, malah kita akan faham menilai keadaan dan manusia.

Sama macam ambil gambar, kalau sudut pertama tidak menarik kita cuba sudut yang lain pula. Brand tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya kita tidak mahu mencuba.